Wali bermaksud teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali merupakan rukun nikah.
Syarat Sah menjadi Wali

Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
1. Islam
2. Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
3. Berakal – Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
4. Lelaki – Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
5. Adil
6. Merdeka
Manakala orang buta atau bisu pula adalah diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan ia memenuhi starat-syarat sah menjadi wali.
Susunan Wali

Susunan wali mengikut tertib ialah:
1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa 3
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja/Sultan.
Jenis-jenis Wali

Wali Nasab (Wali Mujbir, Wali Aqrab dan Wali Ab’ad)
Wali nasab bermaksud orang yang mempunyai pertalian darah yang sah dengan pengantin perempuan dan memiliki kuasa syara’ untuk mengakad nikahkan perempuan daripada keturunannya.
Wali Mujbir
Panggilan yang khusus buat wali seperti bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan)
Wali Aqrab
Wali Aqrab adalah wali yang paling terdekat, layak dan berhak menjadi wali dengan bakal pengantin perempuan mengikut susunan wali, contohnya adik beradik lelakinya atau anak saudara.
Wali Ab’ad
Wali yang jauh hubungannya sedikit dengan bakal pengantin perempuan mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.
Wali Raja/Wali Sultan/Wali Hakim/Wali Am
Wali ini adalah wali yang diberi kuasa oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau DYMM Sultan atau Raja kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas wali ini dengan sebab-sebab tertentu untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib atau walinya tidak mahu mengahwinkannya tanpa apa-apa sebab yang munasabah mengikut hukum syara’.
Credit : Youtube Ustaz Azhar Idrus Official
Wali Tahkim
Wali Tahkim pula adalah wali yang dilantik oleh pasangan pengantin untuk mengendalikan akad nikah yang tiada wali nasab dan tiada pula waji raja, wali sultan, wali hakim atau wali am dengan syarat-syarat tertentu.
Sebab keperluan kebenaran wali Hakim dari Mahkamah Syariah

Permohonan Wali Hakim dibuat apabila berlaku keadaan seperti berikut :
a) Tiada wali yang sah dari nasab
b) Wali ghaib
c) Saudara baru / Muallaf
d) Anak tak sah taraf
e) Wali enggan
f) Wali dalam ihram haji/umrah
g) Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat
Nota Kaki
Kesimpulannya, sebelum seseorang perempuan itu hendak mendirikan rumah tangga hendaklah mendapat restu dan kebenaran daripada walinya terlebih dahulu kerana walilah yang diberi kuasa oleh syarak untuk menikahkan perempuan tersebut dengan pasangannya. Jika tidak mempunyai wali atau menghadapi masalah dengan wali, terdapat pelbagai alternatif lain yang dianjurkan dalam islam. Sila berhubung dengan majlis agama untuk pertanyaan lebih lanjut.
.
[…] Informasi berikut merupakan kenyataan rasmi daripada Facebook Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru. Sebarang pertanyaan atau permasalahan anda disarankan untuk terus menghubungi terus mereka. (Dikemaskini pada 13 Januari 2021) Masih keliru dengan kedudukan wali? Jom baca entri kami tentang Wali di sini. […]